-LIHAT - FIKIR - KATA - WAkata...BUKAN SEKADAR KATA

Thursday, November 4, 2010

KONVO DAN BANJIR

nak tulis pepanjang aku dah malas 
korang baca jer la laporan Bernama ni
Konvokesyen UUM Ditangguh Kerana Banjir

ALOR SETAR, 2 Nov (Bernama) -- Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) ke-23 sesi kelima dan keenam yang dijadual Selasa terpaksa ditangguhkan akibat banjir yang melanda daerah Kubang Pasu sejak Isnin.


Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata majlis konvokesyen bagi dua hari pertama iaitu pada 31 Okt dan 1 Nov berjalan lancar.

"Bagaimanapun, bagi sesi kelima dan keenam pada hari terakhir majlis konvokesyen, iaitu hari ini terpaksa ditangguh atas sebab banjir di kawasan sekitar universiti ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata jalan utama yang menghubungkan UUM dengan Alor Setar iaitu melalui Lebuhraya Utara Selatan ditutup kepada semua kenderaan akibat banjir teruk, manakala beberapa laluan alternatif juga amat membahayakan pengguna jalan raya.

"UUM amat berat hati untuk membuat keputusan ini tetapi demi kebaikan dan keselamatan para graduan, ibu bapa, waris dan staf menyebabkan keputusan ini terpaksa dibuat.

"Keputusan ini juga dibuat kerana kebanyakan kakitangan yang bertugas sempena majlis konvokesyen turut terjejas akibat banjir sama ada rumah mereka dinaiki air atau terperangkap dalam banjir serta jalan yang menghubung UUM ke kediaman mereka terputus," katanya.

Mohamed Mustafa berkata keadaan dalam kawasan kampus terkawal dan ibu bapa tidak perlu bimbang tentang keselamatan dan bekalan makanan penuntut yang tinggal di kawasan kampus.

Beliau berkata semua graduan diminta merujuk kepada maklumat terkini dalam laman web serta surat akan dikeluarkan bagi memaklumkan tarikh baru menggantikan majlis konvokesyen yang ditangguh itu.

"Bagi penuntut yang sedang bercuti sempena cuti sebelum peperiksaan akhir turut diminta merujuk kepada laman web UUM bagi mengetahui perkembangan terkini mengenai keadaan banjir di kawasan sekitar universiti," katanya.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment